Malam Isnin lepas sampailah malam semalam, aku telah berjaya menghabiskan satu novel karya Norhayati Berahim, bertajuk ‘Sayang Tak Terucap’. Novel ini mengisahkan Delilah, seorang doktor gigi yang telah berjumpa dengan ayah kandungnya setelah 32 tahun terpisah. Takdir menemukan mereka setelah lama ditinggalkan bersama ibu tercinta. Delilah, telah dibesarkan oleh ibu, nenek dan datuknya yang cacat penglihatan. Selama ini, perkataan ayah begitu asing di dalam hidupnya. Datuknya yang buta itulah yang dianggap ayah olehnya.
Ayahnya terpaksa melangkah pergi meninggalkan mereka berdua atas alas an pergi mencari rezeki. Namun, malangnya, orang yang sering ditunggu, saban hari hilang begitu sahaja. Usia perkahwinan antara Mawar dan Aminuddin baru sahaja mencecah 5 bulan. Setelah 4 tahun menunggu, akhirnya Mawar menuntut fasakh kerana sudah tidak tahu di mana lagi harus dicari suami tercinta.
Kini, Tan Sri Aminuddin telah berjaya. Beliau telah menjadi seorang ahli perniagaan. Sewaktu Tan Sri susah dahulu, beliau menjadi seorang tukang kebun di sebuah banglo. Pada ketika itu, jodoh menemukan beliau dengan Mijahlara, janda anak satu yang ditinggalkan suami yang bermain kayu tiga. Namun, Tan Sri tidak pernah menceritakan asal usul nya kepada Mijahlara dan ini telah membuatkan Mijahlara yakin untuk berkahwin buat kali kedua. Setelah 32 tahun, Tan Sri Aminuddin kembali teringat akan kisah lama apabila terbaca kisah wanita contoh yang telah mendapat anugerah bersempena kejayaannya di dalam bidang perniagaan, sumbang bakti beliau di rumah-rumah kebajikan. Malahan, anaknya juga turut sama berjaya dan menjadi kebanggaan ibunya. Mereka adalah Hajah Mawar dan Delilah. Apakah reaksi Delilah dan ibunya?? Kalau nak tahu bacalah novel ni yer...
Novel ini memang bagus. Setiap bibit kata penulis ditulis dengan penuh teliti. Unsur-unsur Islamik juga banyak disertakan. Kalau ada masa, saya cadangkan bacalah novel ini. Bagi saya membaca novel dapat membuka minda dan memberi pengalaman. Melalui novel juga pelbagai nasihat dan teladan yang kita perolehi. Cukup mendidik hati. Huhu. Sebenarnya minat membaca novel ini timbul kembali setelah membaca novel Ayat-ayat Cinta yang dipinjam dari seorang sahabat , Mei tahun lalu kalau tak silap saya. Minat tu ada, tapi masa tak mengizinkan. Bila dah mula baca balik saya dah tak reti berhenti. Saya nak baca lagi dan terus baca lagi..hehe..Nanti saya buat book review lagi kalau ada masa.

